Sunday, 22 January 2012

Jenis-Jenis Refleksi & Contohnya Penulisannya


Jenis-jenis Penulisan Refleksi
  • Penulisan Deskriptif 
  • Refleksi Deskriptif 
  • Refleksi Dialog
  • Refleksi Kritikal


Kajian oleh Hatton dan Smith (1995) menunjukkan bahawa terdapat empat jenis penulisan yang telah dikenal pasti dalam penulisan refleksi. 

Pertama, penulisan deskriptif (descriptive writing) yang merupakan penulisan yang menerangkan keadaan atau peristiwa di bilik darjah dengan hanya menulis tarikh, tempat tanpa sebarang penerangan berkenaan sebab, akibat dan kaitan peristiwa serta kesannya terhadap sikap dan kepercayaan penulis.

Kedua, penulisan refleksi deskriptif (descriptive reflection) yang merupakan penulisan jurnal yang mempunyai penerangan sebab dan akibat terhadap peristiwa yang terjadi secara jelas dengan  ciri-ciri  taakulan  dan  renungan  terhadap peristiwa dan  memberi  alasan-alasan/justifikasi terhadap perkara yang berlaku.

Ketiga, penulisan refleksi dialog (dialogical reflection) yang merupakan penulisan refleksi yang mengandungi kata-kata yang merujuk kepada bisikan  hati penulis  kepada  peristiwa  yang  sedang  direnungkannya melalui siri soal jawab tentang persoalan yang difikirkan.

Keempat, penulisan refleksi kritikal (critical reflection) yang merupakan penulisan refleksi yang mengaitkan peristiwa di bilik darjah dengan hal-hal di luar rutin bilik darjah seperti falsafah diri insan guru sendiri, falsafah pendidikan, isu-isu wawasan, perpaduan, politik, ekonomi dan sosial.

Contoh Penulisan Refleksi

Penulisan Refleksi Tahap Pertama (penulisan deskriptif)


1.        Pengajaran tidak dapat diteruskan kerana sebahagian pelajar lambat hadir  ke kelas.
2.    Latihan kebakaran sekolah dijalankan pada waktu pengajaran. Kelas  terpaksa dibatalkan.
3.    Pelajar mengantuk di dalam kelas.
4.    Masa pengajaran tidak mencukupi. Aktiviti kelas terpaksa ditangguhkan kepada pengajaran akan datang.

Penulisan Refleksi Tahap Kedua (penulisan refleksi deskriptif)


  • Terdapat beberapa orang pelajar yang membuat bising di dalam kelas dan tidak menghiraukan pengajaran guru. Guru bertindak memanggil nama pelajar tersebut dan bertanyakan soalan yang berkaitan. 
  • Guru mengajar dalam bahasa Inggeris menyebabkan pelajar kurang faham  apa   yang  disampaikan  oleh   guru.  Guru  sepatutnya  cuba menerangkan sesuatu istilah  dalam bahasa Melayu
Penulisan Refleksi Tahap Ketiga (Refleksi Dialog)
  • Terlalu banyak kelemahan saya dalam pengajaran tentang prinsip geometri pada hari ini. Saya tidak menyediakan  contoh  soalan  untuk  pelajar mencuba.  Saya  tidak  dapat menumpukan satu-persatu pelajar untuk menjawab soalan. Ada isi yang saya tertinggal. Sayakurang persediaan mengenai tajuk yang diajar.

Penulisan Refleksi Tahap Keempat (Refleksi Kritikal)
  • Saya memang seorang yang tegas semasa mengajar. Walaupun begitu saya suka ketawa semasa mengajar. Saya mesti pastikan pelajar memberikan tumpuan yang sepenuhnya semasa saya menyampaikan aktiviti  pengajaran.  Saya  akan  memarahi  pelajar  yang  tidak mengendahkan pengajaran saya. Saya menggunakan pendekatan behaviourisme apabila mengajar kerana saya ingat lagi masa cikgu saya mengajar sejarah beliau menggunakan pendekatan yang sama. Dan dengan pendekatan cikgu tersebut berjaya mendidik saya menjadi insan yang berjaya. Oleh itu, saya percaya pendekatan tersebut akan dapat membantu pelajar mempelajari sejarah.

No comments:

Post a Comment